Thursday, 19 December 2013

IMAN DAN PERSAUDARAAN

20/11/2013. Tazkirah  Magrib. Tajuk :  IMAN DAN PERSAUDARAAN

Assalamualaikum.......

 Alhamdulillah mari  kita merafakkan syukur kepada Allah S.W.T  kerana dapat bersama-sama  pada malam ini.

Daripada Anas  b Malik ;
" Daripada Nabi S.A.W nyatakan tidak sempurna iman sesaorang jika ia tidak menyukai sesaorang itu mendapat kebaikan, seperti saudaranya seperti ia suka kepada dirinya sendiri."
 Maksudnya tidak beriman sesaorang jika ia tidak menyayangi sesaorang seperti ia sayang dirinya sendiri."  Huraian, Islam mahukan masyarakat yang bersatu padu. Perpaduan tidak akan wujud jika tiada perhubungan yang baik.

Perlu ada tali  persaudaraan  untuk hubungkan sifat kasih sayang. Ada hadis yang lain menjelaskan, sesaorang itu adalah saudara pada yang lain. Yang dimaksudkan adalah seperti saudara seibu sebapa. Itulah yang dikehendaki Allah akan persaudaraan yang perlu rapat sesama muslim.

Bandingan kasih sayang, perhubungan baik, baik sangka, antara mukmin adalah sebagai anggota/ badan. Apabila mengadu sakit satu  daripada bahagiannya maka akan terasa sakit anggota yang lainnya. Maksudnya adalah perlu ada simpati atas kesusahan yang dialami oleh anggota masyarakat dan  perlu ada tanggongjawab  saling membantu.

 Sepertimana umat islam di Palestin yang di tindas oleh kaum yahudi, akan terasa oleh umat islam dilain negara untuk sama membantu. Penderitaan mereka juga adalah penderitaan kita atas dasar persaudaraan sesama islam. Sebaik-baik  akhlak umat islam adalah menyukai kebaikan yang  pada orang lain. Ia turut merasakan gembira dan bersyukur apabila orang lain mendapat nikmat.

Maksudnya disini tidak merasakan iri hati hati atau ada sifat cemburu. Paling tidaknya kita ucapkan tahniah.. Dan kiranya  kita  jika mendapat nikmat itu ada perasaam mahu ia dikongsi bersama. Konsep ini bukan sahaja  untuk keluarga tetapi dalam komuniti masyarakat. Jika mendapat kemudaratan bermakna bersama mencari jalan untuk meringankan.

 Kehidupan  orang  islam  dengan  vision sama untuk mendapatkan keredhoan Allah. Persoalannya adalah bagaimana untuk meletakkan diri berada dalam situasi yang dikehendaki. Perasaan manusia seringkali di saluti dengan sifat tidak baik. Ada permusuhan dalam pergaulan. inilah perkara yang sentiasa dimainkan oleh syaitan yang memang telah tertanam sifat merosakan manusia. Bilamana kita telah tahu itu tujuannya, jangan biarkan diri dikuasai oleh sifat seperti itu.

 Jika kita terbiar dengan sifat sukakan arak dan judi, ia adalah penghalang untuk mengingati Allah. Wajib menjauhi perkara yang Allah larang, kerana ia akan menghitamkan hati dan didalamnya adalah rumah kepada syaitan.

Menyentuh dalam hal perintah tunaikan solat dan keluarkan zakat. Ia satu tanggungjawab setiap umat islam. Dinyatakan mendirikan solat itu adalah tiang agama. Diumpamakan juga ia sebagai satu bekas yang perlu ada untuk menyimpan amalan -amalan . Perkara yang pertama disemak dihari akhirat adalah kesempurnaan solat. Bagaimana jika tidak laksanakan solat. Sebagaimana wajibnya laksanakan perintah Allah, itulah perlunya kita peringatkan antara satu untuk tunaikan samada yang wajib atau fardhu kifayah.

Perasaan kebersamaan kasih sayang antara manusia, telah ditekankan oleh Rasullulah SAW  setiap masa. Ia adalah kunci kearah menyatupadukan ummah, perpaduan dan kekuatan agama.  Perlu tunjukan contoh kepada orang lain. Banyak kisah para nabi dan sahabat yang memberikan tauladan yang akhirnya orang bukan islam tersentuh hatinya duduk didalam jumaah islam.

 Ada sifat negetif diantara kita yang pentingkan diri. Sifat ini adalah gejala bermulanya memutuskan  silaratulrahim dilihat ada dalam mana mana intitusi dari peringkat keluarga, kampong, daerah atau negara.Yang akhirnya pertentangan yang tiada berkesudahan. Akan hilang maruah, kehormatan dan tidak boleh lagi dijadikan contoh kepada orang lain.

Dalam perimbangan bertindak atas sesuatu perkara, ada masanya lebih baik kita diam kerana ia adalah lebih baik . Ada masanya  hendaklah kamu tegur dengan kuasa, percakapan,  atau hati, bergantung kepada kedudukan  kita dan tanggungjawab. Pendekatan secara baik. Jangan tegur sehingga memalukan dikhalayak ramai. Kalau dapat bawa  keluar dan sampaikan apa yang sepatutnya.

Ada sifat manusia yang berbuat baik hanya jika  ia mendapat faedah darinya. Pertimbangan berbuat kebaikan darinya hanya  jika ada kepentingan peribadi. Sampai peringkat yang keterlaluan ia tidak ada sifat mahu mengorbankan  apa yang ada  pada nya untuk diberikan kepada  orang lain , malah lebih teruk jika ia menganggap  rugi baginya  walau pun kepada saudaranya sendiri. Memang ada  berlaku  dalam masyarakat, sampaikan orang lain tidak lagi mengganggap ia adalah anggota dalam masyarakat tersebut. Matinya ia  itulah yang pertama dan terakhir ia didatangkan kemasjid.

Adakala sifat yang negetif ini ada sifat tamak sehingga ia merasakan ia sahaja yang berhak mendapat kebaikan.  lalu ia berusaha dengan cara mana sekali pun dengan menghalalkan cara. Amat malang manusia yang begini sifatnya, langsung tidak ada ciri iman. Telah diselaputi debu dosa yang tidak digilap.

Dosa yang amat ditakuti adalah mengambil hak anak anak yatim. Sebab Allah telah  sebut bahawa hak anak yatim itu amat sensitif sifatnya. tidak boleh diambil. Dosanya  banyak dikifaratkan / diberi balasan semasa berada dialam dunia lagi. Nabi S.A.W pernah kata  orang- orang yang mendustakan agama adalah orang yang membiarkan anak-anak yatim. Sampaikan pernah dikatakan oleh Nabi S.A.W. DInyatakan bahawa  nabi sendiri adalah anak yatim. Jika disaat hari raya, menyantuni anak yatim adalah wajib kerana tiada pergantungan lain oleh anak yatim akan dirinya mengharapkan belas kasihan orang lain.

Allah memerintahkan supaya kebajikan anak-anak yatim ini terpelihara. Wajar ada sesuatu jaminan diberi kepada semua anak-anak yatim ini di buat. Jika masyarakat itu tidak memperdulikan tanggongjawab ini semua yang ada adalah berdosa. Amaran Allah maka tunggulah saat Allah menurunkan azab kepada masyarakat seperti ini termasuk pemimpin didalamnya.

Ada pun orang yang hidup untuk diri nya dan untuk orang lain adalah   orang yang dicintai oleh Allah SAW dan sentiasa berfikir untuk kebaikan ummah dan mengajak mereka kearah mentauhidkan Allah. Ia memberi gambaran orang yang memiliki iman yang sempurna.

 Dalam masyarakat hari ini alhamdulillah ada usaha  kearah membantu anak yatim. Di mana- daerah ada ditubuhkan badan yang mengurus anak - anak yatim seperti di Pekan Kati dan beberapa tempat tertentu yang mengambil inisiatif kearah menjaga kebajikan anak-anak yatim ini. Memberi pendidikan akedemik dan agama. ini adalah usaha yang dituntut dalam islam. Tanggongjawab ini amat besar ganjarannya disisi Allah.

Seringkali ada kutipan derma dari pusat pengurusan seperti ini dibuat termasuk dari negara luar seperti dari Thailand. Hendak berperasangka baik. Jangan anggap itu membebankan kita untuk hulurkan derma.  Ada juga maklumat yang nyatakan ia datang dari  sendiket / sumber yang tidak sah. Boleh  lihat dukumen yang dibawa.  Mudahan kita mendapat saham akhirat  atas bantuan yang diberi.

 Allah nyatakan bahawa orang yang memiliki sifat kasih sayang akan dirahmati oleh Allah atas sifat Rahman Allah. Bagaimana sifat rahman kita kepada orang bukan islam.?  Sebagaimana yang dicontuhi oleh Nabi S.A.W, mangasihani orang bukan islam  adalah membawa aliran kefahamannya akan konsep ketuhanan, mengenalkan ia kepada islam. Paling tidaknya adalah contuh akhlak baik yang ditunjukkan. Jangan tunjukan sifat permusuhan dan lakukan strategi  memancing mereka supaya tidak memusuhi islam.

Orang yang menjalinkan hubungan atas dasar kerana Allah S.W.T , adalah tergolong dalam orang yang dicintai, bersih hatinya, akan mendapat naungan didunia dan akhirat. Yang lawan akan jadi kawan, yang jahat akan jadi sahabat. Dijelaskan dari hadis Nabi SAW.  Belum sempurna iman  sesaorang jika nafsunya tidak tunduk kepada apa yang telah disampaikan menyukai apa yang disukai  dan membenci apa yang dibenci  oleh Rasulluluah S.A.W.  Apa yang didatangkan oleh Rasul itu hendaklah diambil dan apa yang dicegah olehNya hendaklah ditinggalkan. Rasulullah itu adalah ikutan.

Amat istimewa jika sesaorang itu menjadikan amalan sunat seperti solat tahajjud, solat dhuha, puasa sunat dijadikan amalan rutin. Ia amat membantu dalam perkiraan dihari akhirat..

Perbuatan merokok itu adalah makruh boleh menjadi haram kerana ada makumat menyatakan  tembakau yang digunakan telah dipercik dengan arak.  Begitulah yang perlu kita jaga. Hendaklah berusaha mendekatkan diri kita dengan cara hijrahkan diri secara berperingkat. Ubah diri menjadi manusia yang lebih baik dari semalam kearah kehidupan yang dicontuhi oleh Rasulullah S.A.W.

Inilah yang dapat disampaikan pada malam ini untuk dikongsi bersama, mudahan akan memberi  kebaikan kepada kita.

Wassalam ....

Penulisan adalah berdasarkan rakaman suara.
Masjid Al Sakinah, Kampong  Kampar, Kati, Kuala Kangsar.


No comments:

Post a Comment