Monday, 11 November 2013

UMAT TERPILIH

20 / 7 /2013   Catatan tazkirah .  Tajuk :    UMAT TERPILIH 
 
Allah khabarkan bahawa bulan Ramadzan dijanjikan begitu banyak kelebihan. Tetapi tidak ramai umat manusia yang mahu dapatkan apa yang Allah janjikan. Ramadzan Allah sediakan ruang yang boleh memberi keampunan dosa sepanjang tahun malah jaminan ke syurga. Hanya umat terpilih sahaja yang nampaknya bersungguh mahu mendapatkan apa yang Allah janjikan. Itulah umat terpilih yang telah sampai kepadanya petunjuk dan hidayah.

Subuh tadi ustaz menekan tiga perkara .

Pertamanya nak dapatkan redho Allah.

Kedua adalah akan adanya keberkatan/barokah dan

Ketiganya adalah adalah ketenangan / kebahagian.

 Pengertian redho adalah menerima dengan rasa senang dengan apa yang diberikan oleh Allah s.w.t. baik berupa peraturan ( hukum ) mahupun qadha atau sesuatu ketentuan daripada Allah s.w.t.

Hendak dapatkan redho Allah tentunya ada timbal baliknya. Sedar kita akan diri adalah milik Allah . Redho menerima hukum-hukum Allah s.w.t. adalah merupakan manifestasi daripada kesempurnaan iman, kemuliaan taqwa dan kepatuhan kepada Allah s.w.t. kerana menerima prosedur dari Allah dengan senang hati dan tidak merasa terpaksa atau dipaksa.

Merasa tunduk dan patuh dengan segala lapang dada, bahkan gembira menerima syariat yang digariskan oleh Allah s.w.t. Perasaan itu datang kerana cinta kepada Allah dan rasul .Inilah tanda keimanan yang murni serta tulus ikhlas kepadaNya. Redho kita akan sebarang ujian, ketentuan dan jika beribadah, bersedekah atau mengerjakan sembahyang maka ibadah itu hendaklah ikhlas kerana Allah bukan bersifat pura-pura.

Saban tahun Allah meraikan tetamu Ramadzan dengan kelebihan yang disediakan. Jika menepati prosedur yang Allah tentukan ada maka akan datanglah redho Allah kepada kita. Jika hidup ini bukan untuk mengenal Allah, bukan kerana mencari redho Alllah, ianya adalah kehidupan yang sia-sia.

Pengertian keberkatan/ barokah adalah adanya percambahan, ia berkembang dari segi kuantiti dan kualiti. sedikit tetapi cukup untuk ramai dan ada penemuan baru/ ilham yang Allah berikan. Para ulamak katakan, biar sedikit asalkan diberkati daripada banyak tetapi memudaratkan. Biar kebaikan yang bertambah, berterusan dan berpanjangan.

Keberkatan dikategorikan kepada 5 perkara iaitu :

Pertama : Keberkatan pada umur. Ia bermaksud Pertama : Keberkatan pada umur. Nabi pernah katakan Sebaik-baik manusia menurut pandangan Allah (Islam) ialah orang yang panjang umurnya dan baik pula perbuatannya, sedang seburuk-buruk ialah orang yang panjang umurnya tetapi buruk pula perbuatannya.

Kedua adalah Keberkatan berkeluarga.  Keluarga yang berbahagia adalah keluarga yang memiliki ketenangan dan kebahagiaan. Sentiasa rukun damai dan lahir kasih sayang di antara suami, isteri dan anak-anak.
Saling nasihat menasihati, hormat menghormati percaya mempercayai di antara satu sama lain.

Tarbiyah merupakan keperluan asasi setiap manusia. Para suami yang telah aktif dalam medan dakwah biasanya akan mudah mendapatkan hal ini. Namun, isteri juga memiliki kemampuan untuk meneruskan tarbiyah ini untuk anak-anaknya.

Ketiga : Keberkatan pada rezeki.  Rezeki yang berkat adalah rezeki yang diperolehi daripada sumber-sumber yang halal.
Digunakan pula rezeki tersebut untuk kebaikan dan di jalan Allah. Apabila kita mensyukuri rezeki Allah maka Allah s.w.t akan memberkati hidup kita dan Dia akan memberi tambahan rezeki dijalan yang tidak disangka-sangka.

Rasulullah bersabda yang maksudnya, “Makanan untuk seorang mencukupi untuk dua orang dan makanan untuk dua orang mencukupi untuk empat orang dan makanan untuk empat orang mencukupi untuk lapan orang.

Rezeki adalah ketentuan Allah s.w.t. Untuk menambah keberkatannya hendaklah membiasakan diri dengan sifat pemurah dan tidak bakhil untuk bersedekah kepada orang lain kerana hal ini akan memberikan ketenangan kepada diri malah akan lebih disayangi oleh masyarakat kerana sesungguhnya, harta yang kita miliki terdapat hak-hak orang lain di dalamnya yang wajib kita tunaikan.

Keluarga yang pendapatannya kecil menanggung anak-anak yang ramai tetapi anak-anaknya menjadi insan yan berakhlak mulia dan berjaya di dalam kerjaya dan kehidupan. Ini menunjukkan ada keberkatan rezeki yang dikurniakan oleh Allah.

Bersangka baik pada Allah dalam apa jua keadaanpun, kerana kasih sayang Allah itu mendahului Kemurkaan-Nya. Pastikan sumber rezeki yang kita perolehi dari sumber yang halal. Tidak meninggalkan suruhan Allah insyaAllah diberkati dan hidup kita akan sentiasa mendapat rahmat.

Keempat : Keberkatan hidup berjemaah. Allah perintahkan kita hidup berjemaah kerana ada keberkatan sedangkan hidup tanpa jemaah akan menghampirkan sesaorang kepada keburukan. Rasulullah dan sahabat-sahabat baginda hidup bersama jemaah Islam yang dibentuk . Di dalam jemaah berlaku proses tarbiyah iman berjalan hingga melahirkan satu generasi umat Islam terbaik baik dalam sejarah manusia.

Amat dituntut sampaikan Allah katakan sesaorang yang lalai dalam sembahyang berjemaah ianya akan di tampong oleh jemaah yang lain. Dalam bulan biasa pahala hanya 27 gandaan itu pun jika berjemaah Dikhabarkan gandaannya Allah melalui Al-Qur’an menjelaskan bahawa satu amalan dibulan puasa digandakan menjadi 700. Sesuatu amalan boleh membiak kepada 7 tangkai dan setiap tangkai itu boleh menjadi 100 akhirnya boleh menjadi kepada 700.

Kelima : Keberkatan pada ilmu. Keberkatan pada ilmu adalah merujuk kepada ilmu pengetahuannya yang bermanfaat kepada orang lain. Ilmu yang dapat memberikan manfaat kepada orang lain dan dapat menambahkan ketakwaan mereka kepada Allah Jika satu kitab yang dikarang, selagi kitabnya dapat memberikan manfaat kepada orang lain, maka Allah akan mengurniakan ganjaran dan pahala yang berterusan kepada pengarang kitab tersebut.

Ilmu yang diberkati juga mempunyai penemuan baru dalam hasil menganalisa sesuatu yang Allah jadikan. Berdasarkan keyakinan bahawa tiada satu pun yang sia - sia setiap yang jadikan. Ia berkembang dengan kuantiti dan kualiti. Ilmu yang DIberkat adalah ilmu yang mendekatkan diri kita kepada Allah. Difahami, dilaksanakan dan disampaikan pada orang lain.

Akhirnya adalah mendapatkan rasa ketenangan hati / qalbu. Marilah sama-sama kita muhasabah diri . Kenapakah sering kita mengalami kerisauan, jiwa sentiasa tidak tenang dan tekanan hidup yang semakin meningkat. Analisa diri, pasti akan ditemui tidak wujud keberkatan dalam hidup kita. tidak ada keberkatan pada umur, ilmu, keluarga, rezeki , tiada jemaah. Oleh perlulah kita kembali kepada Allah s.w.t dengan mentaati perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya insya Allah rahmat dan keberkatan daripada Allah s..w.t akan kita perolehi.

Wassalam………


Terima kasih atas  rujukan halaman web atas tajuk yang sama

No comments:

Post a Comment