Monday, 11 November 2013

PERINGATAN OLEH ALLAH

27 /10 /13. Tazkirah Subuh.  Tajuk : PERINGATAN OLEH ALLAH

Muqadimah. Ustaz nyatakan kelebihan berada dalam majlis ilmu di rumah Allah antara Magrib ke Isyak memiliki satu aura dimana di dalamnya ada bersama para para malaikat. Aura ini akan menaungi orang orang yang berada didalamnya. Hendaklah kita datang mengambilnya.

Seringkali dalam mana-mana ceramah / kuliah inilah yang di dengar. Akan tetapi rumah Allah terus sahaja kekal dengan jumaah yang ada walau pun disebutkan dalam khutbah Jumaat berulang kali. Malah ada yang tidak berfungsi sebagai rumah ibadah. Azan dilaungkan bagaikan mendengar lagu. Pada saat seperti itu Allah nyatakan akan turunlah azab atau sebarang bala yang datang mengenai kelompok berkaitan tidak kira sama ada yang berdosa atau tidak berdosa.

Ayat berupa peringatan adalah juga berupa ancaman Allah khusus kepada orang yang telah diperingatkan tetapi terus hanyut dalam berbuat dosa. Ia juga memberi ilmu akan apa yang ada akan ditemui diseberang kematian. Ia juga petanda kasih Allah kepada umat manusia yang mahukan manusia melakukan apa yang diperintah, meninggalkan yang dilarang.

Persoalannya, kenapa itu berlaku. Ustaz mengambil contoh:- Gelas yang kosong menunjukan ia di penuhi oleh udara, tetapi bila diisi air, udara akan keluar. Ruang dalam gelas digantikan oleh air dan apabila air itu diminum bermaksud gelas itu kembali akan dipenuhi oleh udara.
Perbandingannya ialah gelas itu adalah hati. Hati adalah satu bekas. Ia perlu diisi. Boleh jadi diisi dengan yang baik atau yang buruk.

Tanggongjawab kita adalah membentuk hati itu dengan memasukan dengan ilmu yang mengenal Allah dan Rasul. Ia mengambil masa yang panjang. Dapatkan ia dari kaedah mendengar/ berguru dan membaca dan bertanya . Hayati maksud ayat dalam solat, InsyaAllah manusia itu akan jadi baik. Akal hendaklah tunduk kepada semua ayat Allah dan mengkaji apa yang dikatakan bukan mempertikaikannya.

Itulah sebabnya semakin banyak pergantungan kita kepada selain dari Allah , semakin tidak tenang hidup ini, makin resah dan makin turun kualiti akhlak , kerana hakikat sebenarnya adalah Allah Pencipta Alam Semesta tujuan menciptakan manusia untuk mengabdi kepada Nya . Allah yang menciptakan alam dan segala isinya , Allah perintahkan supaya kita menghamba diri kepadaNya.

Direncanakan penciptaan bumi dan segala isinya , termasuk para malaikat, jin dan manusia dengan sifat Allah itu sendiri iaitu Yang Berkehendak (Iradah). Diaturkan penciptaan golongan malaikat, jin dan manusia dengan sifat kejadian yang berbeza. Antara satunya mempunyai kercenderungan yang ditentukan oleh Allah.

Kefahaman akan status kejadian ini amat penting supaya dapat kita mengenal arah mana yang sedang dituju. Manusia akan disaring untuk ditempatkan disyurga atau neraka. Maka amat rugilah orang yang matinya dalam keadaan hanyut sesat tidak mengenal Allah dan rasul.

Peringatan juga , dinyatakan bahawa tiada tolak ansur dalam hal menyekutukan Allah:-
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa kerana mempersekutukanNya (syirik), dan Dia mengampuni dosa yang selain daripada syirik bagi sesiapa yang Dia kehendaki. Barangsiapa mempersekutukan Allah maka sungguh dia telah membuat dosa yang besar.”

Syirik bukan sahaja menyembah berhala atau sesuatu yang berlembaga tetapi perbuatan syirik juga bererti menyokong, membantu seseorang atau pemimpin dan penguasa atas sesuatu urusan atau pekerjaan dalam menggunakan kaedah dan undang-undang selain syariat dan hukum Allah.

Berikah peringatan kepada keluarga yang terdekat supaya dapat diselamatkan dari api neraka. Azab yang amat pedih oleh Allah. Peringatan Allah boleh jadi dalam bentuk ujian, teguran, bala, atau azab. Hendaklah segera kita menyemak tingkah laku, kesilapan percakapan, hati dan fikiran .

Jika memandang keindahan kehebatan ciptaan Allah, katakan subhanAllah, jika melihat kemungkaran, tersasul percakapan dan perbuatan ucapkan astaghfirullahalazim, jika melihat sesuatau musibah atau situasi yang tidak baik ucapkan innalillah atau nauzubillah.

Berlemah lembutlah dalam menyampaikan ayat ayat Allah . Penerimaan adalah urusan Allah. Allah janjikan sesiapa yang menolong agama Allah, dijanjikan bahawa Allah akan mempermudahkannya dalam urusan kehidupan.

Diakhirat nanti Allah akan tanya adakah telah kamu sampaikan kalam Allah kepada orang yang sepatutnya, bukan ditanya dilaksana atau tidak perkara yang telah kamu sampaikan . Kepada anak isteri kamu, jiran tetangga, handai taulan, orang- orang yang dibawah pimpinan kamu. Juga kepada pemimpin kamu yang tidak melaksanakan tanggongjawab dan hukum Allah.

Allah memberi amaran kepada manusia yang berpaling daripada peringatan Allah. Akan menghadapi resiko , mereka akan menghadapi kesempitan kehidupan samada di dunia apa lagi di akhirat.

Allah nyatakan lakukan solat dengan sempurna kerana janji Allah solat akan menyelesaikan semua kekusutan kehidupan duniawi. Hendaklah bersabar dalam perlaksanaannya. Adapun kesempitan hidup di akhirat jauh lebih menyiksakan berbanding kesempitan hidup di dunia. Berbeza dengan kesempitan hidup di dunia yang boleh diatasi dengan usaha dan pertolongan manusia.

Mudahan sedikit peringatan ini dapat dijadikan ilmu. Ustaz nyatakan jadikan amalan harian, setiap langkah dengan zikir mudah sekurangnya setiap ayunan kaki dengan Laillahaillah atau berselawat.

Jika boleh walau pun sedang bercakap, mendengar, membanting tulang, terdapat ayunan zikir dalam hati sabagai tikar yang dihamparkan. Datanglah apa sahaja, ayunan zikir itu terus kekal. Tidur dalam ayunan zikir dan bila terjaga hati automatik terus berdenyut dalam bahasa yang sama.

“Ibarat kamu memandang bintang dilangit,. begitu juga makluk dilangit memandang kamu kebumi, rumah dan orang yang kukuh zikirullahnya tidak mampu di ganggu oleh mahkluk jin/ iblis.

Wassalam..


Rajukan kuliah Masjid Jamiq  Sungai Gelugur
Terima kasih atas rujukan web lain tajuk yang sama.

No comments:

Post a Comment